Sunday, February 20, 2011

Sambutan Maulidur Rasul S.A.W., Peringkat SK. Teriang Tahun 1432H/2011

Program Sambutan Maulidur Rasul S.A.W., Peringkat SK. Teriang, Endau, Johor telah diadakan pada hari Sabtu, 19 Februari 2011 yang lalu. Pelbagai acara telah diadakan pada hari tersebut seperti pertandingan mewarna bagi murid tahap 1, pertandingan azan bagi murid lelaki tahap 2 dan pertandingan tilawah Al Quran bagi murid perempuan tahap 2. Selain itu, diadakan juga pertandingan mengeja perkataan bagi Bahasa Arab untuk murid-murid tahap 2.

Di dalam majlis ini, Ustaz Mohd Fazil bin Ra'aim dari SK. Teluk Lipat, Endau telah menyampaikan satu ceramah berkaitan perjuangan Rasullulah S.A.W. dan mengajak murid-murid mencontohi keperibadian dan amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Dif-dif jemputan, guru-guru, kakitangan dan pekerja swasta sekolah serta murid-murid yang hadir turut menyaksikan persembahan bacaan dan tafsiran ayat-ayat suci Al Quran, berzanji dan marhaban, bacaan sajak serta persembahan nasyid.

Di akhir majlis, semua hadirin telah disajikan dengan hidangan nasi minyak beserta lauk-pauk yang enak sekali hasil gotong-royong warga SK. Teriang dan pihak kantin sekolah.

Thursday, February 17, 2011

Majlis Pertunangan Guru SK. Teriang


Pada hari Jumaat, 4 Februari 2011 yang lalu, Cik Jaziha binti binti Jamil Din, guru SK. Teriang, Endau, secara rasminya telah ditunangkan dengan jejaka pilihan hatinya yang berasal dari Pahang Darul Makmur. Majlis tersebut telah disempurnakan di kediaman keluarga beliau di Bandar Kulim Baru, Kedah Darul Aman. Tunangan beliau merupakan bekas mahasiswa Universiti Malaysia Pahang. Hubungan yang terjalin sejak berada di pusat pengajian tinggi ini telah direstui oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Seluruh warga SK. Teriang, Endau mendoakan agar pertunangan ini berakhir dengan ikatan perkahwinan dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Monday, February 14, 2011

Larian Perdana Mahkota Tahun 2011




Seluruh warga SK. Teriang, Endau, Johor telah turut serta dalam acara Larian Perdana Mahkota Tahun 2011 yang telah diadakan pada hari Sabtu, 12 Februari 2011 yang lalu. Larian yang menjangkau jarak 2.1 km itu telah dimulakan dengan agihan sarapan pagi, bacaan doa, taklimat keselamatan dan acara senamrobik. Guru Besar SK. Teriang, Pn. Maimon binti Ismail telah sudi menyempunakan acara melepaskan para peserta tepat jam 9.00 pagi. Laluan yang dipilih adalah melalui kawasan perkampungan di sekitar SK. Teriang. Pihak sekolah juga telah mendapat kerjasama yang baik daripada para pengguna jalan raya yang terlibat dengan laluan larian ini. Semua peserta yang menyertai larian ini telah diberikan sijil penyertaan masing-masing sebagai bukti penghargaan pihak penganjur kepada mereka yang telah menjayakan larian ini. Sejarah telah tercipta melalui Larian Perdana Mahkota ini kerana pada waktu yang sama, seluruh warga sekolah di dalam negeri Johor turut melakukan aktiviti yang sama di sekolah masing-masing.

Monday, February 7, 2011

Jubli Perak Temasya Olahraga SK.Teriang, Endau

SK. Teriang, Endau, Johor telah mengadakan Jubli Perak Temasya Olahraga Sekolah pada hari Jumaat, 1 Julai 2011, bertempat di Padang Awam Kg. Teriang Besar, Endau. Majlis perasmian temasya itu telah disempurnakan oleh wakil rasmi Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Mersing, Tn. Hj. Mohd Nizam Yeo bin Abdullah, Penyelia Sukan, PPD Mersing.
Pada temasya olahraga kali ini, pihak sekolah telah memuatkan acara sukantara selain acara balapan dan padang. Ini bermakna setiap murid sekolah ini berpeluang menyumbangkan mata bagi pasukan rumah masing-masing. Ini selaras dengan saranan kerajaan untuk melaksanakan program 1 murid 1 sukan.
Di akhir temasya olahraga ini, pasukan rumah Satria telah diumumkan sebagai johan keseluruhan setelah mendapat jumlah mata tertinggi berdasarkan kutipan pingat. Sementara itu, di dalam majlis yang sama, adik Wan Ahmad Zaidi bin Wan Musa dari pasukan rumah waja dan adik Syafikah binti Yunus dari pasukan rumah wira telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SK. Teriang bagi acara untuk tahun 2011 itu.