Monday, January 24, 2011

Program Titian Kasih Murid Tahun 6/2011







Program ini telah diadakan pada hari Sabtu, 22 Januari 2011 di Dewan SK. Teriang, Endau, Johor. Majlis tersebut bermula dari jam 8.00 pagi lagi dengan kehadiran terdiri daripada murid-murid tahun 6, ibu / bapa / penjaga murid tahun 6 serta sebahagian guru SK. Teriang. Sebahagian lagi guru berada di dalam kelas bagi menjalankan aktiviti p&p memandangkan hari tersebut merupakan hari ganti persekolahan untuk cuti Tahun Baru Cina nanti.

Di antara pengisian program pada hari itu adalah pembentangan program kecemerlangan UPSR oleh Guru Besar, Pn. Maimon binti Ismail, Laporan Prestasi Murid Tahun 6 melalui TOV/ ETR oleh GPK 1, En. Rahmat bin Hj. Abd. Karim, Ikrar Murid Tahun 6, Ikrar Ibu Bapa / penjaga Murid Tahun 6, Sesi Dialog bersama Ibu Bapa / Penjaga Murid Tahun 6, dan Ceramah Motivasi untuk Murid, Ibu Bapa /Penjaga dan Guru-guru yang disampaikan oleh Ustaz Nazaruddin bin Hj. Abd. Kadir, Guru Besar Sekolah Agama Pulau Aur, Mersing.

Pihak sekolah amat berpuas hati dengan jumlah kehadiran ibu bapa pada hari tersebut. Pihak ibu bapa pula mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana dapat menganjurkan Program Titian Kasih Murid Tahun 6 ini demi kecemerlangan anak-anak mereka di dalam peperiksaan UPSR 2011 nanti. Program yang mendapat kerjasama PIBG SK. Teriang ini juga diharapkan dapat memberikan gambaran awal kepada pihak ibu bapa tentang program-program yang bakal dilaksanakan oleh pihak sekolah khusus untuk murid tahun 6 agar perjalanan setiap perancangan yang dibuat kelak mendapat kerjasama yang baik oleh ibu bapa / penjaga murid.








Sunday, January 23, 2011

Penyampaian Bag Sekolah Sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Penyampaian sumbangan beg 1AZAM ( Akhiri Zaman Miskin ) yang disumbangkan oleh Jabatan kebajikan Masyarakat telah diadakan pada Sabtu, 22 Januari 2011 semasa sesi perhimpunan pagi di mana hari tersebut merupakan hari ganti persekolahan bagi cuti Tahun Baru Cina nanti. Seramai 10 orang murid telah terpilih untuk menerima beg-beg sekolah tersebut. Majlis disempurnakan oleh Puan Maimon binti Ismail, Guru Besar SK. Teriang.

Thursday, January 20, 2011

Rawatan Kesihatan Murid SK. Teriang

Pihak Pusat Kesihatan kecil Endau telah mengadakan pemeriksaan kesihatan bagi murid-murid SK. Teriang pada hari Rabu, 19 Januari 2011. Pihak sekolah telah menyediakan sebuah bilik khas bagi tujuan ini. Pihak sekolah amat berterima kasih dengan semua petugas dari Pusat Kesihatan Kecil Endau yang telah menjalankan tugasnya dengan penuh komited dan ramah.




Friday, January 14, 2011

Pertukaran 2 GPK Secara Serentak !







Suasana SK. Teriang pada hari Jumaat, 14 Januari 2011 agak suram, sesuram cuaca pada pagi ini. Setelah selesai menyempurnakan Majlis Bacaan Yasin, En. Rahmat bin Hj. Abd. Karim, GPK HEM SK. Teriang telah beliau mengumumkan pertukaran GPK 1 SK. Teriang, En. Mohd Noh bin Abdul Talib ke SK. Kem Iskandar, Sekakap, Mersing dan juga pertukaran beliau sebagai GPK HEM SK. Teriang berkuatkuasa pada 16 Januari 2011 ini iaitu 2 hari lagi. Berita ini sungguh memeranjatkan bagi seluruh warga SK. Teriang.

Namun begitu, seperti kata kedua-dua GPK itu, pertukaran ini adalah lumrah bagi penjawat awam dan setiap arahan itu perlu dipatuhi.

Guru Besar, Pn. Maimon bin Ismail yang turut terkejut dengan situasi ini turut mengingatkan semua warga SK. Teriang agar bertenang dan teruskan berusaha untuk memastikan cita-cita untuk mengekalkan SK. Teriang sebagai sekolah terbaik dalam UPSR 2011 daerah Mersing akan dapat dicapai.

Thursday, January 6, 2011

Selamat Kembali Ke Sekolah Bagi Sesi Pembelajaran 2011

Kepada murid-murid, diucapkan selamat kembali semula ke SK. Teriang untuk meneruskan sesi pembelajaran bagi tahun 2011 ini. Kepada murid-murid yang baru bertukar ke sekolah ini, semoga anda selesa dan gembira berada di SK. Teriang untuk mengikuti suasana pembelajaran yang pastinya menyeronokkan.